Kesan gejala awal elak terlalu tertekan, bimbang
Biarpun menopaus sudah tidak asing lagi kepada semua wanita, kehadirannya memang agak membimbangkan mereka kerana secara tidak langsung sedikit sebanyak mengubah kitaran hidupnya termasuk dalam hubungan intim dengan pasangan.
MENOPAUS BOLEH MENYEBABKAN WANITA HILANG KEANJALAN KULIT, DIABETES, SAKIT SENDI, KENCING TIDAK LAWAS, MASALAH JANTUNG DAN PELUPA" Dr Alice Prethima, Pakar Kesihatan dan Ginekologi
Definisi menopaus dari segi perubatan adalah pemberhentian haid selama 12 bulan. Menopaus berlaku apabila ovari tidak lagi menghasilkan hormon estrogen dan progesteron.
Umur purata permulaan menopaus sekitar 51 tahun. Ada wanita menopaus awal, iaitu pada usia 30 tahun dan paling lewat 60 tahun.
Jadi, tidak hairanlah jika wanita di ambang usia lewat 30-an tidak seharusnya menarik nafas lega ,tetapi perlu mengambil langkah penjagaan awal termasuk mengamalkan kehidupan sihat mengelakkan menopaus menjejas kitaran hidupan.
Kajian perubatan juga menunjukkan menopaus awal berlaku sekitar satu peratus di kalangan wanita dan lazimnya berpunca daripada masalah kesihatan termasuk pembedahan barah ovari, penyakit berkaitan pembuluh darah dan jangkitan viral.
Tanda awal putus haid
Selain tanda perubahan emosi, wanita juga boleh mengesan gejala awal menopaus menerusi kegagalan kitaran hadir termasuk tidak teratur, tempoh haid dan kandungan atau jumlah darah dikeluarkan.
Kadar kehadiran haid juga boleh dibandingkan setiap bulan jika mula mengalami perubahan seperti haid semakin berkurangan atau terdapat kesan tompok selepas dua minggu haid selesai.
Sehubungan itu, masalah haid kurang dari seminggu dan kuantiti sedikit juga adalah antara tanda awal wanita mula memasuki fasa putus haid. Bagaimanapun untuk mendapatkan kepastian, wanita perlu menjalankan rawatan pada doktor pakar kerana tanda seperti itu juga berkemungkinan punca kepada penyakit lain seperti kanser atau fabroid dan sebagainya.
Kesan wanita putus haid
Kehidupan wanita banyak bergantung pada pengeluaran hormon estrogen. Selain menjadi bahan kepada penyeri paras rupa ia juga membantu menstabilkan jiwa dan emosi wanita.
Pakar Kesihatan dan Ginekologi, Dr Alice Prethima Michael, berkata apabila wanita mula memasuki fasa putus haid, mereka akan mula hilang kawalan emosi dan menjadi lebih sensitif serta ketakutan memikirkan kemungkinan hilangnya ciri-ciri kewanitaan dan perasaan mudah marah timbul.
Katanya, wanita juga menjadi sangat sensitif dan mudah merajuk. Selera makan dan tidur mudah terganggu serta mudah resah. Wanita juga akan mula rasa serba-serbi dilakukan menjadi tidak kena malahan sering mengeluh dan menangis apabila bersendirian.
“Antara gejala menopaus seperti suhu badan mudah naik, berpeluh ketika malam, kekeringan faraj, insomnia (susah tidur malam), sakit kepala, lesu, cepat marah, keresahan, kemurungan, jantung berdegup kencang serta sakit sendi.
“Menopaus juga boleh menyebabkan wanita hilang keanjalan kulit dan masalah kesihatan seperti diabetes, sakit sendi, kencing tidak lawas, masalah jantung dan pelupa.
“Putus haid juga mengakibatkan mereka hilang nafsu untuk berasmara kerana penurunan kadar keinginan hingga boleh mengakibatkan hubungan antara suami isteri menjadi renggang,” jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Cegah gejala
Menjelas lanjut, Dr Alice yang juga pakar bedah kosmetik dan pakar perubatan aestetik berkata, wanita seharusnya terus mengekalkan amalan hidup sihat dan berbincang dengan ahli keluarga mengenai masalah dihadapi mereka.
Katanya, rawatan kesihatan dan perubahan rutin membantu dan mengembalikan kesejahteraan wanita mengalami gejala putus haid. Antaranya termasuk mengamalkan diet seimbang, beriadah dan berhenti aktiviti sosial yang boleh mengakibatkan kemudaratan seperti merokok dan alkohol.
“Wanita boleh menjalankan ujian darah untuk membantu mereka mengurus masalah itu dan terapi hormon boleh mengembalikan kestabilan hormon wanita memandangkan hormon semakin berkurangan ketika ini. Terapi sedemikian turut memulihkan masalah keguguran rambut, kulit, kesakitan saraf dan kekeringan vagina.
“Amalan harian juga memainkan peranan besar terhadap kitaran haid wanita yang mengakibatkan premenopaus. Wanita dinasihat untuk tidak merokok dan mengambil makanan rendah lemak dan kolesterol. Diet juga perlu disertakan dengan serat serta vitamin dan mineral.
“Penurunan berat badan juga atau latihan beban, seperti berjalan, berlari atau menari memberikan kecerdasan pada sistem tubuh dan jika kerap kencing lakukan pula latihan meningkatkan kawalan otot,” katanya.
INFO: Menopaus
1) Faktor meningkatkan risiko menopaus awal (sebelum usia 45) membabitkan: * Berat merokok .
* Terapi radiasi.
* Kemoterapi.
* Perubatan berkaitan hormon.
* Genetik dan penyakit.
2) Kaedah mengelak dari berat badan naik.Apabila melakukan perubahan pada pola pemakanan, cuba lakukan secara beransur-ansur agar tubuh badan boleh menerima perubahan dilakukan anda.
- Tukar tabiat pemakanan tidak elok.
* Cuba amalkan pengambilan makanan ringan berkualiti seperti buah-buahan dan kekacang berbanding coklat atau manisan. Jika memasak, gantikan minyak zaiton atau sayuran.
- Air
* Tambahkan lagi pengambilan air masak atau minuman semula jadi seperti jus dan lemon. Air berkarbonat tidak elok untuk tubuh.
- Makan di luar
* Menu bukan bergoreng tapi secara stim, dibakar atau kukus (kandungan kalorinya rendah dan menyihatkan).
- Pelbagaikan aktiviti senaman.
* Kepelbagaian aktiviti bukan saja memberikan kesegaran pada tubuh secara holistik, tetapi membantu anda menghilangkan rasa bosan dan letih sekali gus mengembalikan keremajaan diri wanita.
- Jangan makan tiga kali sehari,
* Amalkan pengambilan makanan secara kerap tetapi dalam kuantiti sedikit bagi mengelakkan anda cepat rasa lapar. Kaedah ini juga membuatkan kalori cepat terbakar.
3) Cara membantu menguruskan kepanasan badan: *Ketika badan mula terasa panas, pergi ke suatu tempat yang sejuk.
*Jika hot flashes membuatkan tidur tidak selesa cuba tidur di bilik sejuk.
*Pilih pakaian dalam lapisan membolehkan badan anda tidak terasa hangat atau rimas.
*Gunakan lembaran dan pakaian yang membiarkan kulit anda bernafas.
*Minuman sejuk seperti air kosong atau jus mengurangkan kepanasan.
4) Kekal cantik.* Kekal seksi, cantik, yakin dan gembira.
* Bersolek menambah aura wajah.
* Bijak berpakaian cantik dan sesuai
* Ambil makanan berzat
* Banyakkan makan kacang soya, ubi keladi, flaxseed oil, evening primrose oil (EPO), black cohosh, red clover, ubat tradisional Cina yang mengandungi dong quai.
* Elak kesedihan dan kemurungan.
* Sertai aktiviti pelbagai kelab.
* Kekalkan hubungan intim dengan pasangan
credit to :- artikel famili, berita harian,4/7/13
Setelah membaca artikel di atas, Jom tengok apa yang SET KECANTIKAN SHAKLEE....boleh bantu anda:
0 comments:
Post a Comment